CROMOK AKHIRNYA MELAKUKAN REUNION?

AddThis Social Bookmark Button



"Kemungkinan kita hanya akan melakukan konsert reunion tetapi perancangan untuk merakam album belum ada lagi, tapi tunggulah, tengok macamana nanti." Karl pula turut mengesahkan berita gembira tersebut. "Kita dapat banyak sangat permintaan untuk reunion, jadi kita sedang berusaha ke arah itu," ujar Karl yang mengeluarkan album solo pertamanya awal tahun ini berjudul 'Shred It Back'. Sementara Miji pula teruja untuk bermain semula setelah sekian lama tidak aktif bermain muzik. "Kita memang tengah bincang tetapi konsert reunion ini bukan dalam masa terdekat. Aku pun kena praktis dan mantapkan permainan dalam masa dua tiga bulan ni. Kalau jadi pun mungkin dalam tahun depan, sekitar bulan Mac. Kita pun tak tau sambutan macamana, nanti letak harga tiket mahal-mahal takda orang datang pulak (ketawa)," ujar Miji. Sebagai penghormatan kepada mereka, di bawah disiarkan temuramah eksklusif bersama Cromok untuk isue kedua Karisma keluaran Februari 2010. Maklumat dalam temuramah ini tidak akan dapat dan tidak pernah dibuat oleh majalah atau akhbar! Isu tersebut masih ada dalam simpanan dan bagi sesiapa yang mahu mendapatkannya boleh berhubung dengan Karisma.


SEDUTAN INTERVIU DI MAJALAH KARISMA EDISI KE 2 



Oleh : Xul Metal Storm.

  Kehadiran Cromok pada awal '90-an adalah satu fenomena di luar realiti yang memecah dominasi irama rock tempatan. Ini kerana sebelum ini laman hiburan tempatan dimonopoli irama tersebut dengan menerima hujanan album-album rock sehingga mengakibatkan satu kebanjiran karya yang tidak bermutu. Bermula dari bawah lebih 20 tahun lalu dengan bermain di hadapan kira-kira 200 peminat muzik underground di Australia dan seterusnya berada di puncak populariti dengan melakukan persembahan untuk lebih 20,000 penonton di Kuala Lumpur. Mereka adalah prototaip kepada 'thrash kapak' di Malaysia dan bukan satu liabiliti sebaliknya satu entiti penting dalam sejarah rock di negara kita. Cromok sebenarnya bukan datang daripada spektrum muzik underground metal tempatan tetapi mereka mempunyai peranan yang amat besar dalam industri muzik tempatan. Mereka memainkan fungsi yang mendefinisikan bentuk irama berat dan bagaimana bentuk itu diolah ke tahap maksimum tanpa perlu menjejaskan kefungsian, itu adalah satu kuasa magis daripada Cromok!

  Invasi pertama mereka adalah melalui demo-album 'Image of Purity' pada 1989/1991 yang merupakan karya klasik thrash metal tempatan. Selepas itu, sebanyak lima buah album lagi dirakamkan yang semuanya kekal menggunakan bahasa Inggeris dengan lirik bertemakan fantasi dan realiti. Sementara realiti dan fantasi muzik mereka bermula daripada asas thrash tetapi turut digarapkan dengan elemen daripada heavy hingga speed metal. Mereka terkenal dengan muzik yang bermelodi, harmonik, separa teknikal (awal) dan teknikal (kemudian), sound, ritma dan lenggok solo tersendiri serta mempunyai pelbagai variasi yang membentuk dimensi metalik mereka antara laju atau pun perlahan. Mereka adalah raja thrash Malaysia walaupun ungkapan 'thrash' pernah dinafikan sebelum ini tetapi itu adalah pengkelasan yang dikira tepat dan paling imbang dalam neraca pengkonsepsian.

  Biasanya apabila melakukan introdusir tentang Cromok dalam satu-satu temuramah, ungkapan klise yang biasanya kita dengar adalah 'mereka tidak perlu diperkenalkan lagi' kerana semua sudah tahu mengenai mereka tetapi benarkah begitu? Sejauh mana sejarah kumpulan ini diketahui yang mana pernah mencetuskan satu polemik di luar intelektualisme metal sebenar hanya kerana dibicarakan tentang pengaruh Ulek mayang dalam muzik mereka atau penuntut Melayu buat album thrash metal di luar negara? Cromok lebih daripada itu jika diangkat dan diletak mereka ke tempat sewajarnya lalu diperdebat tentang sound, stail dan keunikan muziknya. Sempena album kompilasi terbaru Cromok 'Anthology' baru-baru ini, satu interviu secara holistik dilakukan bersama Sam bass/vokal yang juga pengasas utama grup lagenda sepanjang zaman ini. Cubaan untuk mengumpulkan Miji dan Karl adalah terlalu sukar disebabkan kesibukan masing-masing. Bagaimanapun temuramah ini menjawab hampir semua persoalan dan ini juga merupakan satu metalurgikal tentang Cromok.

  Selepas pertengahan 80-an kamu, Miji dan Karl berhijrah ke Australia untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Wollonggong, Sydney, Australia tetapi sebelum migrasi itu, adakah semuanya memang peminat rock dan heavy metal serta mengikuti perkembangan muzik tersebut di tanah air? "Kami sememangnya mengikuti perkembangan muzik rock tanah air, sejak zaman kemunculan band-band yang sekarang ini dianggap sebagai 'legend' contohnya Sweet Charity, Rusty Blade, Search, Ella and The Boys dan sebagainya," kenangnya ketika itu yang mereka semuanya masih remaja, Sam atau nama penuhnya Shamsudin Ali sambil menggenggam semangat zaman itu menyambung kembali, "selain itu, terdapat juga 'rockers-rockers' awal seperti Metallian, SYJ, Bloodshed dan D'Fesbian yang turut kami minati pada zaman itu. Biasala demam rock masa tu kat mana-mana saja. Muzik rock telah kami minati sejak zaman sekolah menengah lagi dan terus meminatinya hingga kami melanjutkan pelajaran ke luar negara."


  Macamana dengan perkembangan irama metal khususnya thrash ketika mula-mula kamu jejakkan kaki ke Australia? "Metal scene di Australia, lebih kurang sama dengan 'metal scene' di Malaysia. Masa baru-baru sampai sekitar 1986, tempat yang paling popular untuk konsert dan gig metal ialah di Sydney iaitu tempat atau kelab yang bernama Seven Hills Inn, The Den Penthurst dan Teachers Club. Mula-mula kami pergi tengok gig aja tetapi tidak sangka pula tidak lama selepas itu apabila Cromok ditubuhkan dan aktif, kami pula bermain dekat situ dan bernasib baik kerana di beri peluang untuk mangadakan persembahan," singkapnya yang semakin jauh menelusuri zaman mengenai introduksi awal mereka dengan pergerakan muzik underground negara berkenaan setelah mengikuti perkembangan irama ekstrem sejagat waktu itu, speed dan thrash metal!!!

 Bagaimana boleh tercetusnya idea untuk menubuhkan Cromok sedangkan kamu semua merupakan penuntut sepenuh masa di universiti terbabit dan bila kenal antara satu sama lain? "Panjang cerita...," celahnya ringkas tetapi membuatkan penulis berdebar-debar dan tidak sabar dengan cerita selanjutnya, "aku, Miji dengan Karl sudah kenal sejak sebelum kami sambung pelajaran ke Australia, kenal masa kat Malaysia lagi. Sebenarnya kami semua adalah penuntut Sekolah Menengah Sains Dungun, Kemaman, Terengganu dan semuanya sama 'batch' dengan aku. Kira kat sekolah tu kitaorang antara mat rocklah (tersenyum)." Bila pula kenal dengan arwah Din yang kemudiannya menjadi gitaris/vokalis Cromok? "Arwah Din atau Khairudin Muhammad kami kenal masa di Australia, dia sambung pelajaran lebih awal daripada kami. Aku orang Johor, Karl dari Selangor manakala Miji dan Din berasal dari Kelantan. Idea nak tubuhkan band datang daripada kebosanan duduk kat rumah, tak tau nak buat apa masa 'weekend'. Kami memang minat muzik dan ada 'basic' main muzik masa tu."

  Cromok sebenarnya ditubuhkan pada 1986 tetapi ketika itu masih tidak mempunyai nama (pra-Cromok) dan diwujudkan hanya untuk mengisi masa terluang. Kamu (bass/vokal) dan Din (gitar/vokal) adalah pengasas utama kumpulan ini bersama-sama Ji (dram) dan Denan (gitar) dengan memainkan lagu-lagu cover daripada kumpulan Iron Maiden, Deep Purple, Helloween, Metallica, Slayer, Kreator dan lain-lain. "Ya, Ji atau Nik Ramzee dan Denan atau Che Adnan adalah line-up asal. Din, Ji dan Denan kami kenal masa di sana, mereka 'senior' kami yang belajar di universiti yang sama. Ji dan Denan tidak bertahan lama, pada peringkat awal, setiap tiga bulan akan bertukar-tukar line-up (tergelak), tidak terkira banyaknya yang semuanya adalah budak-budak Malaysia yang belajar kat sana. Boleh dikatakan ramai yang boleh main muzik. Masa tu dah start main lagu-lagu thrash." Bila band ini mula serius dan bergelar Cromok? "Kami 'start' serius pada 1987 apabila Miji atau Tarmizi Mokhtar masuk sebagai pemain dram diikuti Mat Puck atau Muhammad Fadhil yang bermain gitar selain aku dan Din. Miji, Din dan semua bekas anggota Cromok berasal dari Kelantan, cuma aku dan  Karl atau Khairul Anuar Shariff dari negeri lain. Kami namakan band kami sebagai Cromok dan nama ini tidak mempunyai sebarang makna pun."

  Sam berkata, tahap penguasaan bermain alat-alat muzik masih lagi sebagai pemuzik amatur tetapi gigih berusaha untuk memantapkan kemahiran masing-masing. Mereka kemudian mengumpul duit masing-masing sebagai untuk modal membeli gitar, bass, set dram, amplifier dan peralatan lain. Dengan sumber kewangan itu juga tempat letak kereta di rumah sewa mereka diubah suai menjadi 'mini studio' untuk berlatih, 'jamming' dan tempat berkumpul bersama rakan. Menceritakan bagaimana mereka membahagi masa antara belajar dan bermain muzik, Cromok katanya, hanya bermain pada cuti kuliah iaitu setiap Sabtu dan Ahad. Difahamkan ahli-ahli Cromok turut bekerja sambilan semata-mata untuk bermain muzik? "Biasala cari duit untuk main muzik dan beli album-album metal baru masa tu. Kitaorang bekerja 'part time' bila cuti panjang macam 'summer break'. Sebahagian besar 'student oversea' akan bekerja pada masa ni. Selain kerja sampingan, kalau bernasib baik dapatla buat 'show' tambah pendapatan sikit." Ramai penuntut tempatan di universiti tersebut yang jadi mat metal? "Mat metal, mana mana pun sama, segelintir sahaja 'student' tempatan kat sana yang jadi peminat muzik metal. Ada yang bukan daripada peminat metal tetapi turut beri sokongan dan menjadi 'peminat' Cromok sebab kami antara band  Melayu yang ada pada masa tu. Kitaorang takde duit beli peralatan muzik yang bagus masa tu, apa yang ada belasah ja (ketawa), maklumlah gila sangat nak main muzik."

 Masa itu kumpulan yang paling menonjol dan baru menghasilkan album di negara tersebut ialah Mortal Sin 'Mayhemic Destruction' dan Hob's Angel Of Death 'Hob's Angel Of Death' pada 1987. Band seangkatan dengan Cromok ialah White Trash, Massive Apendage dan Mass Appeal yang baru bermula dan tidak punya demo lagi. Bagaimana scene di Australia masa tu? "Ada banyak lagi nama yang menonjol pada masa tu, Addictive, Fester Fanatics, Frozen Doberman dan beberapa lain. Kami bernasib baik kerana dapat bermain bersama selain diberi peluang oleh band-band berikut untuk menjadi 'opening show'." Selain Cromok ada sebuah lagi kumpulan rock  Melayu yang popular di Australia ketika itu, Mustafa Tapuk, boleh cerita mengenai kumpulan ini? "Sebenarnya band Mustafa ni top kat Australia tapi bukan main rock atau metal tetapi irama pop, country dan sebagainya. Dianggotai oleh pemuzik-pemuzik Melayu dan mempunyai ramai peminat kat sana walaupun tidak pernah menghasilkan album, mereka main kat pub-pub dan memang pemuzik yang bagus."

  Kontras kepada kelaziman band biasa ketika di awal penubuhan yang sering memainkan lagu-lagu idola mereka, Cromok, walaupun turut berbuat demikian tetapi pada masa yang sama sudah mula mengeksplorasi kreativiti untuk mencipta lagu, "sejak tahun 1986 lagi kita sudah mula mencipta lagu-lagu sendiri. Antara lagu yang paling awal ialah 'Journey' dengan 'Metallurgical'. Ketika itu kami banyak berlatih dalam garaj," dan sejak itu, mereka terus menggubah lagu-lagu sendiri sehingga melebihi keperluan untuk sebuah demo tetapi tidak mampu merakamkannya dari 1987 hingga 1988 kerana ketiadaan modal, "bukan setakat kewangan sahaja malah daripada segi studio rakaman dan material yang masih menjadi tanda tanya menyebabkan rakaman terpaksa ditunda ke tahun 1989," rujuknya terhadap demo 'Image of Purity yang sepatutnya dirakam satu atau dua tahun lebih awal tetapi tidak mampu untuk direalisasi impian tersebut.

   Sebelum berjaya merakamkan demo tersebut, Cromok buat pertama kalinya berpeluang bermain dalam gig sulung pada tahun 1988 sebagai kumpulan pembukaan untuk sebuah kumpulan crossover tempatan. Mengimbau kembali kali pertama beraksi di pentas, Sam, agak kuat ingatannya tentang persembahan bersejarah itu, "gig pertama kami, 'opening' untuk band punk-metal Fester Fanatics. Cromok banyak main lagu cover Metallica , Anthrax dan sebagainya bersesuaian dengan gig hari tu. 'Performance was ok' tapi 'crowd' memang dingin. Rata-rata yang datang lebih kurang 100 orang yang majoritinya mat Salleh. Ni semua 'regular pub goers' atau peminat Fester Fanatics. 'Malaysian student' ada beberapa kenalan rapat sahaja yang datang," menceritakan pengalaman pertamanya bersama Mat Puck, Din dan Miji. Jadi gig pertama bukanlah di Seven Hills semasa beraksi dengan White Trash, Massive Apendage dan Mass Appeal seperti yang dikatakan sebelum ini? "Betul tu, gig di Seven Hills bukan persembahan pertama tetapi kedua, kami terpaksa bersaing dengan kumpulan-kumpulan baru seperti yang disebutkan tadi," katannya dan sejak itu mereka semakin aktif bermain gig dalam tahun tersebut.

   Pada 1989, Mat Puck atau dikenali juga sebagai Pucky meninggalkan Cromok dan tempatnya digantikan oleh Karl atau Chot daripada satu lagi kumpulan thrash, Keraz yang dianggotainya bersama pemuzik mat salleh, mengulas menengenainya, "apabila Karlmenyertai Cromok band lamanya terus senyap dan sebelum itu pun mereka tidak sempat merakam sebarang demo," jelas pemilik suara kasar yang mempunyai keunikan sendiri itu. Ceritakan pengalaman merakamkan 'Image of Purity'. Apa memori yang paling manis dan tidak dapat dilupakan. "Image of Purity  dirakamkan secara 'live'. 'Edit' hanya 'part vocal' dan 'solo'. 'Recording' dalam masa tiga hari dan dua hari 'mixing'. Kami menggunakan '16 track recording tape' dalam studio kecil di persekitaran Wolonggong. Memori terbaik adalah daripada segi kecekapan 'sound engineer' mengendalikan studio rakaman. 'Studio Owner' iaitu 'sound engineer' (Rob Specogna-Xul) bukannya seorang peminat muzik metal dan tiada pengalaman dalam menghalusi kehendak pemuzik metal. Tetapi atas dasar 'professionalism' dia dapat menghasilkan satu 'demo recording' yang berkualiti dan mampu bersaing dengan penjualan 'recording studio' yang jauh lebih mahal." Betul ketika itu Cromok sebenarnya mempunyai lebih daripada enam buah lagu? "Benar, ketika merakamkan demo itu kami sebenarnya sudah mempunyai berbelas-belas lagu tetapi 'record' enam lagu saja, yang lain simpan untuk demo berikutnya, untuk rakam album memang tidak pernah terlintas pun."

 Bagaimana respons dalam underground scene di Australia masa tu ? "Respons dari 'underground scene' adalah sangat baik. Kami diberi peluang untuk muncul dalam beberapa fanzine terutamanya dari kawasan Sydney dan Melbourne, termasuk dalam satu majalah muzik komersial tempatan. Selain itu kami pernah diinterviu dalam siaran radio tempatan Witching Hour. Selepas demo itu, kami bermain gig sekitar Sydney sahaja dan bianya jadi 'opening band'. Kami main seperti di The Den, Teachers Club, Seven Hills Inn dan beberapa tempat lain." Ketika itu ada sasaran untuk pergi lebih jauh dan hantar ke label-label besar seperti Noise Records atau Steamhammer? "Kami ni band kecik ja, banyak band lain kat sana yang lagi bagus, kami tak hantar pun demo kami kat label-label tu, cuma 'Image of Purity' diedarkan dalam kuantiti kecil oleh pihak Utopia Records, biasala kawan-kawan sama underground. Lagipun kami lebih suka 'stay underground' waktu tu, biasalah 'underground band' punya 'attitude'."

  Selepas itu Cromok pernah menjadi band pembukaan untuk Mortal Sin, band thrash paling popular di Australia ketika itu bagi mempromosikan album kedua 'Face of Despair' pada 1989. Ini adalah salah satu pengalaman paling berharga Cromok yang tidak dapat dilupakan. Apa pandangan Mortal Sin dan Hobs Angel of Death, dua gergasi thrash Australia tentang muzik Cromok? "Biasa-biasa ja tetapi ada menyatakan mereka minat dengan muzik kami.Salah satu pengalaman besar adalah 'opening' untuk Mortal Sin. 'Crowd' dan pengikut Mortal Sin adalah antara yang terbesar sekitar Sydney. Hasilnya lebih ramai mat metal yang dapat mengenali Cromok," jelasnya yang ketika itu Mortal Sin baru sahaja menerima kemasukan pemain dram baru, Nash Hall menggantikan Wayne Campbell. Berapa banyak gig pernah dimainkan Cromok sepanjang di Australia? "Kurang dari 20 gigs sahaja yang kami mainkan di Australia sejak 1988 hingga 1991. Peminat yang datang untuk gig antara 200 hingga 300 orang ja manakala konsert yang besar sikit 1,000 orang atau lebih." Adakah main muzik masa itu sekadar untuk suku-suka atau ada impian menghasilkan album dan seterusnya terkenal di dunia. "Sememangnya dari asal lagi kami main muzik untuk suka-suka dan bukannya untuk menjadi popular atau 'cari makan' melalui muzik."

   Sekitar awal 1990 Cromok telah dihubungi oleh fanzine-fanzine underground tempatan seperti Vortex From The East, Immortal, Words Of Evil dan seterusnya mendapat ekspos dalam pergerakan underground di Malaysia. Sejauh mana kamu mengetahui tentang pergerakan underground tanah air masa itu? "Tidak banyak yang kami ketahui tentang pergerakan underground di Malaysia. Aku ada dapat satu atau dua demo tempatan masa tu tapi lupa namanya. Berbanyak-banyak terima kasih kami ucapkan kepada fanzine-fanzine tersebut dan peminat-peminat muzik tanahair yang menyokong band kami. Ada antara fanzine Malaysia berhubung dengan rakan-rakan kami iaitu 'Malaysian student' yang bukan 'band member' untuk mendapat maklumat tentang Cromok. Bagi kami, Cromok adalah kumpulan minoriti sahaja, perkembangannya hanya sekitar 'underground scene'. Kitoarang pun 'promote' yang termampu je, janji dapat main muzik 'and active in the underground' (ketawa)." Pada awal 1990 ada sebuah band black metal dari Pulau Pinang menggunakan nama Kromok, pernah dengar tentang kumpulan ini? "Eh ye ke? Kitorang tak pernah tau la, masih ada lagi ke?" Band tersebut berkubur pada awal 1991 dan tidak sempat merakam sebarang demo walaupun masa itu memiliki lebih kurang empat buah lagu. Menariknya, mereka pun kata nama Kromok itu tidak mempunyai maksud seperti juga yang didakwa Cromok tetapi dipercayai berasal dari perkataan hentam keromo.

  Penerbit album ekstrem metal tempatan, Jig, adalah salah seorang penuntut dari Malaysia yang sama-sama belajar di universiti berkenaan. Beliau pulang lebih awal ke tanah air dan merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan demo Cromok kepada pihak atasan Valentine Sound Productions (VSP). Seterusnya VSP bersetuju mengeluarkannya semula dalam bentuk album pada awal 1991. Bagaimana deal dan persetujuan yang dibuat dengan syarikat ini daripada segi royalti dan sebagainya kerana Cromok merupakan artis pertama mereka. "Ini pun panjang juga ceritanya," cuba berseloroh sambil mengulas lanjut, "Jig adalah juruadun atau 'sound engineer' untuk gig Cromok di Australia. Banyak pertolongan yang telah beliau buat untuk band Cromok termasuk memperkenalkan kami kepada VSP. Daripada segi deal atau 'royalty payment' untuk kami adalah sama, iaitu 'standard format' untuk band-band lain di bawah naungan VSP," ceritanya dan VSP merupakan syarikat pengedar kaset-kaset thrash atau ekstrem metal terbesar pada zaman itu sejak bermula pada 1989 melalui album-album thrash antarabangsa seperti Sodom, Bulldozer, Kreator, Destruction, Sabbat, Exodus, A.M.Q.A, Onslaught dan sebagainya.


  Album tersebut terjual lebih 30,000 unit (dikatakan juga lebih 100,000 unit) dan merupakan satu fenomena dalam industri muzik rock di negara ini! Kemunculan 'Image of Purity' tepat pada masanya. Adakah kamu semua sedar dan ketahui tentang populariti Cromok di Malaysia waktu itu? "Kami hanya mendengar khabar-khabar angin yang kami sendiri tidak mengetahui kesahihannya, Alhamdulillah khabar itu bukan sekadar khabar angin setelah kami pulang ke tanah air. Bayangkan album tersebut dikeluarkan ketika kami semua masih di Australia, media tempatan sama ada underground atau mainstream berhubung terus dengan kami dari Australia untuk mendapat maklumat. Selain Cromok jangan lupa jualan album-album kumpulan metal lain tidak kurang hebatnya seperti F.T.G dan Suffercation," jawab jurucakap Cromok itu yang mana album pertama mereka mengecap populariti mendadak bersama-sama F.T.G. yang baru dua minggu menghasilkan album mini 'Freedom's That's Gone' di bawah syarikat Karun Seni. Cromok dan F.T.G. melakar sejarah thrash dan ekstrem metal tempatan hingga mendapat ekspos yang meluas dalam media perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, Media Hiburan, URTV dan sebagainya! Sehubungan dengan itu juga irama thrash mengalami satu proses neutralisasi di kalangan masyarakat Malaysia kerana muzik keras terbabit diterima dan mempunyai ramai peminat.

   Bagaimana dengan reaksi keluarga ahli-ahli Cromok masa itu, adakah mereka terkejut, kamu semua yang masih menuntut di luar negara tetapi sudah memiliki album di negara ini? Keluarga kami terima segala kenyataan seadanya," berterus terang tanpa berselindung kerana keluarga masing-masing amat memahami situasi mereka. Sebelum mengeluarkan album kedua 'Forever In Time' Cromok sudah pun berada di (thrash) zon yang selesa dalam industri muzik rock tempatan berikutan kejayaan album 'Image of Purity'. Macamana Cromok boleh mendapat kepercayaan dan tawaran EMI sedangkan label ini secara dsaranya bukan alternatif terbaik buat Cromok kerana sebelumnya tidak mempunyai kaitan dengan irama berat apa lagi muzik seperti thrash? "Aku pun tak berapa ingat tetapi EMi berminat mungkin disebabkan album pertama yang meletup di pasaran. Melihatkan tawaran bagus yang diberi selepas pulang ke Malaysia iaitu sebelum album kedua dirakamkan, aku, Miji dan Karl bersetuju untuk menjadi artis mereka dengan menandatangani kontrak untuk beberapa album. Selepas itu kami terus berada di bawah EMI atas dasar kepercayaan syarikat itu dengan penjualan album kedua."


  Muzik bagi album ini tidak sekeras 'Image of Purity' tetapi mempunyai melodi dan solo paling hebat, malah merupakan album Cromok yang paling tinggi jualannya sehingga mencecah 100,000 unit. Ia menampakkan satu proses kematangan muzik Cromok melalui album ini. "You’ve said it better than I do' (ketawa)." 'Forever In Time' tidak menampilkan Din yang juga merupakan anggota paling awal menamatkan pengajian dan pulang dari seberang laut. Beliau menyumbang enam buah lagu termasuk solo untuk 'Forever in Time'. Mengapa nama beliau tidak diberikan kredit dalam album ini sedangkan Din turut serta dalam penulisan lagu, mengenai soalan ini, Sam agak keberatan untuk menjelaskan puncanya tetapi secara ringkas memberitahu, "sebab musabab ini saya rasa lebih baik biarkan antara kami berempat sahaja yang mengetahuinya." Din sebenarnya pernah menyuarakan rasa terkilan terhadap Sam, Karl dan Miji dengan menyindir mereka menerusi album solo pertama Din iaitu kumpulan D'Cromok berjudul 'VII Years VII Days' (1995) kerana tidak memberikan kredit kepadanya sebagai salah seorang komposer untuk 'Forever In Time'. Sebenarnya ada beberapa perkara lagi antara mereka yang menjadi sebab hubungan agak dingin tetapi ia tidak manis untuk didedahkan di halaman ini tambahan lagi perkara itu telah tertutup dalam lipatan sejarah.

   Difahamkan pengunduran Din adalah kerana idea-ideanya sering tidak diterima dan ini membuatkannya bergerak sendirian secara solo dengan menubuhkan D'Cromok. Projek ini boleh disifatkan sebagai Cromok dalam versi sedikit perlahan tetapi penuh dengan variasi daripada segi pengaruhnya daripada heavy hingga thrash. Apa pandangan kamu mengenai dua album D'Cromok? "'D'Cromok is another Cromok with different ideas'. Perlahan, ganas atau variasi saya letak di atas tangan pendengar untuk menilai. Bagi saya projek D'Cromok adalah satu anugerah untuk memantapkan muzik underground tanahair." Sekiranya Din terus berada dalam Cromok, adakah direksi muzik kumpulan ini akan lebih jauh berbeza dengan penghasilan selepas album 'Forever In Time'? "Semestinya! Beliau memang mempunyai banyak idea-idea kreatif yang kadang kala luar biasa sekali." Din menghembuskan nafas terakhir pada penghujung 1997 setalah diserang penyakit malaria dan bukan seperti yang digembar gemburkan sebelum ini, untuk itu diharapkan tidak ada lagi tanggapan negatif yang berlegar-legar mengenai pemergiannya, Al-fatihah untuknya.

  Sebelum 'Forever In Time' dikeluarkan Cromok sempat mengadakan gig sulung di Life Centre, Kuala Lumpur bersama kumpulan death metal jemputan, Suffercation. Ini adalah persembahan pertama Cromok di negara ini dan penonton masa itu dilihat terlalu ghairah ingin melihat Cromok. "Kami baru pulang ke Malaysia masa tu kalau tak silap (termenung seketika)..." Lebih kurang dua minggu selepas balik dari Australia kan? "Ha-ah, kira-kira dua minggu dan dah kena buat buat konsert pulak. Masa tu kami tak berapa tahu sangat 'scene' dekat Malaysia cuma tahu sikit-sikit ja, jadi bermacam-macam perasaan dan jangkaanlah. Penonton yang datang antara 600 hingga 700 orang, penonton ni memang gila-gila, ada yang 'excited' nak tengok Cromok sampai 'banging' tak ingat dunia dan yang tidak. Contohnya kami kena 'boo' dan ada yang menjerit 'woi balikla' tetapi tidak kurang juga yang fanatik," tersenyum mengenangkan saat itu tetapi tetap berpuas hati dengan sambutan pada hari tersebut. "Kami diberitahu penonton yang datang kebanyakan dari luar Kuala Lumpur seperti Johor, Selangor dan Melaka. Lepas habis gig dan jumpa kami sekejap, diorang ni ambik bus terus balik kampung, terima kasihla kepada semua yang datang," luahnya dan dalam gig tersebut, Ogy, gitaris/vokalis Black Skull diundang khas di posisi gitar bergandingan dengan Karl. Ogy adalah adik kepada Jack, gitaris F.T.G.

  Selepas melakukan persembahan di sebuah funfair di Gemas, Negeri Sembilan sekitar 1998, kamu ada beritahu saya Cromok pernah mendapat tawaran menjadi kumpulan pembukaan untuk tour Motorhead di Australia sekitar 1991/92 tetapi peluang itu terlepas begitu sahaja. Ini kerana Din pulang ke Malaysia dan Cromok tidak sempat mencari penggantinya. Adakah kamu rasa jika Cromok dapat bermain pada hari itu, peluang Cromok akan lebih cerah tidak seperti mana hari ni, maksudnya mungkin ada label antarabangsa berminat selepas menyaksikan kamu beraksi? "Wallahualam," terdiam seketika sambil ingatannya mencari-cari radar zaman untuk kembali ke masa silam dan seketika kemudian menyambung semula, "kitorang tak dapat cari pengganti kerana masa yang diberikan hanya dua minggu sebelum 'show', kami tidak terfikir pun untuk terus bermain dengan tiga anggota kerana kekok untuk bermain 'three piece'. Nak cari bekas gitaris Cromok semuanya dah balik Malaysia masa tu, jadi nak tak nak dan dengan berat hati kitaorang lepaskan ja tawaran tu, memang sayangla lepas peluang macam tu ja."

   Sewaktu itu (1992) sejurus pulang ke sini, banyak kumpulan underground tempatan yang mula merakamkan album seperti F.T.G. 'After The Promise', Suffercation 'Day Of Darkness', Silent Death 'Before The Sunrise', Brain Dead 'From The Ectasy' dan Pilgrim 'Perfume Garden'. Pendapat kamu tentang kumpulan-kumpulan ini dan tidak terkejut masa itu kerana band tempatan juga mampu keluarkan album? "Terkejut juga. Memang tak sangka kerana pemuzik underground tempatan sudah maju dan berkembang sehingga ke tahap itu. Kami berbesar hati kerana band kami yang merupakan 'part time musician' mampu berentap dengan band-band tempatan yang rata-ratanya 'full time musician'. Mereka mempunyai semangat perjuangan untuk maju, tidak hairanlah mengapa mereka mampu mengeluarkan album yang lebih mantap dan tidak hairan juga sekiranya album-album mereka mendapat sambutan dari negara luar," berbicara secara merendah diri walaupun era tersebut Cromok diangkat sebagai kumpulan yang memberi nilai tambah kepada reputasi thrash di Malaysia!


  Selepas album kedua Cromok lebih banyak menumpukan perhatian terhadap kerjaya tetapi walaupun begitu masih mampu mengeluarkan album ketiga 'Yours Truly' pada 1996. Muzik kali ini semakin kurang berat (speed metal). "Susunan muzik menjadi lebih kemas walaupun kurang berat. Kami lebih menumpukan kepada sound dan kualiti." Bagi album 'Yours Truly' bagaimana boleh datang idea untuk mengundang Khalid Mobin, gitaris Rusty Blade untuk bermain solo? "'Your’s Truly ', untuk julung kalinya kami menggunakan khidmat profesional untuk 'recording'. Kami dapatkan khidmat Rusty Blade iaitu Zan dan Khalid Mobin termasuk DB production." Selepas itu dalam satu persembahan di Fun Fair di Gemas, Cromok turut menggunakan khidmat Zan sebagai pemain dram sementara bagi menggantikan Miji yang patah tangan dan seorang lagi gitaris Rusty Blade, Mohd. Noor Hendrix, mengapa memilih mereka? "Kami berkecimpung dalam arena gig di Malaysia di bawah kelolaan Ella Production. Pemuzik Ella pada masa itu ialah Zan, Khalid Mobin dan Yem Bai (bekas bassis Bumi Putra Rockers- Xul). Mereka adalah pemuzik yang cemerlang daripada segi pembawakan dan permainan dan kami rasa mereka mampu membawa muzik Cromok. Tidak kami duga mereka sanggup beraksi bersama kami di 'funfare gig' di Gemas. Idea 'funfare gig' ini di kelolakan oleh bekas 'sound engineer' Ella’s Production iaitu Yusof Tapai."

  Sekitar 1997 Amuk ditubuhkan dan tanpa perlu dinafikan lagi kumpulan ini merupakan Cromok versi Melayu tetapi dengan lebih lembut lagi. Kumpulan rock ini secara tidak langsung mempopularkan Cromok tetapi pada masa yang sama, turut menjahamkan irama metal kerana langsung tidak mempunyai originaliti dan tidak menepati maksud 'real metal'. Beliau dan Miji yang pernah menyumbang lagu untuk kumpulan itu agak tersentak dengan pertanyaan tersebut, "jangan cakap macam tu," ujarnya lembut sekali gus membayangkan secara relatifnya bahawa Amuk memang 'bertopengkan' originaliti Cromok, "mereka cuba mempromosikan muzik Cromok dan seterusnya muzik mereka sendiri dalam bahasa ibunda dengan sebutan dan penghayatan yang lebih jelas." Jika dikaji pada era itu, terdapat banyak kumpulan rock Melayu yang mendakwa (thrash) metal tetapi hakikat sebenarnya kosong tanpa pengisian kejiwaan irama metal yang sebenar -'false metal'!!! Sebenarnya kewujudan kumpulan-kumpulan false metal ini satu tragedi kepada irama metal Malaysia, yeyeh!

   'Mean, Meaner, Meanest' pada 1999 adalah karya yang tidak dijangka dan buat pertama kali menampilkan Hillary Ang sebagai sessionis bagi menggantikan Karl yang tidak mampu lagi memberikan komitmen. Album ini menampilkan hanya beberapa lagu baru yang dilihat sebagai permulaan baru perjalanan muzik Cromok bersama Hillary. "'Mean, Meaner, Meanest' adalah album separuh kompilasi dengan tiga lagu baru dan dua lagu lagi yang 'rerecord'. Pada masa itu Hillary adalah selaku pemuzik undangan sahaja dan kami tiada 'plan' untuk meneruskan muzik Cromok, lagipun 'contract' bersama EMI tamat selepas tiga  album." Selepas album ini mereka kurang aktif tetapi masih mendapat publisiti meluas tetapi penjualannya tidak dapat menandingi album-album sebelumnya. Spekulasi bahawa Hillary yang merupakan bekas gitaris Search bermain untuk Cromok menerawang di permukaan reputasi mereka ketika itu dan ahli-ahli kumpulan lagenda ini lebih selesa membiarkannya sebagai satu realiti yang diselubungi enigma.

   'Image of Purity' dikeluarkan semula (remastered) pada tahun 2000 buat kali ketiga selepas VSP yang sebelum ini pernah mencetaknya untuk kali kedua sekitar 1992/93 dengan tajuk 'Image Of Purity + Live'. Kali ini menampilkan dua lagu baru yang keras seperti mana dahulu. "EMI mahukan 'the whole Cromok collection under their label'. Kontrak bersama VSP tamat dan kami pindahkan 'master copy' ke EMI.  Maka album 'remastered' keluar bersama dua lagu 'live' yang di petik dari konsert kami di Life Centre," dan buat pertama kalinya 'Image of Purity' dikeluarkan dalam format cakera padat (CD) dengan kelebihan penambahan proses 'remastering' yang lebih menyegarkan. Meskipun begitu, keluaran tersebut masih tidak dapat menandingi versi kaset sebelum ini yang dianggap lebih klasik serta 'cult' kerana kulit album, susun atur dan foto-foto lama Cromok jauh lebih terkesan daripada segi nilai klasikalnya.

  Album keempat 'What's Left' (2000) secara rasminya memperkenalkan Hillary sebagai gitaris baru yang mengambil alih posisi Karl dan menyaksikannya turut menyumbang lagu. Bagaimana mencari keserasian sedangkan sebelum ini Hillary tidak pernah mendengar pun muzik Cromok atau irama thrash. Adakah Cromok rasa ia satu pilihan yang tepat? "Ya. Tepat kerana kami mahukan kelainan dan variasi muzik Nusantara. Hillary pemuzik berkaliber yang banyak mengajar kami susunan dan olahan muzik seperti keroncong, Hindustan dan klasikal," komen Sam tanpa bias kepada Hillary atau Karl yang tidak pernah dinafikan sumbangan besarnya terhadap sound dan originaliti Cromok. Sedikit masa dahulu, kehadiran Hillary dipertikaikan kerana tidak sesuai dilihat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Karl kerana sebab-sebab yang disebutkan tadi.

  Cromok menjadi semakin teknikal melalui album seterusnya 'Defeaning Silence' pada 2002, adakah kamu rasa melalui gandingan bersama Hillary adalah penyebab utama kepada perubahan tersebut? "Tidak," menafikan karya tersebut yang masih tidak boleh dilabelkan sebagai post-thrash metal, "ini adalah 'direction' kami sekumpulan dan bukan Hillary seorang. Kita perlu mempertingkatkan daya mutu dan keunggulan muzik kami." Pengalaman luas Hillary sebagai pemuzik sessionis dan terlibat dalam kerja-kerja penerbitan album turut dibawanya bersama untuk mencorakkan album tersebut. Selain Hillary, Karl juga pernah berkecimpung dalam bidang tersebut dan hasil buah tangan sulungnya ialah menerbitkan album pertama death metal negara, Suffercation 'Day of Darkness' pada pertengahan 1992 juga di bawah VSP sebagai artis ketiga mereka. Karya tersebut merupakan album death metal kedua di Asia Tenggara selepas album berkembar (split LP) Abhorer (Singapura) dan Necrophile (Jepun) pada 1990 di bawah Dicapitated Records (Greece).

  Album terakhir Cromok 'Untitled' seolah-olah  sudah dirancang bahawa ia merupakan noktah terhadap karya seni kamu. Ia seperti sebuah album selamat tinggal tetapi tetap sarat dengan riff bermutu dan turut mempunyai keistimewaan sendiri. "Belum. Noktah bagi kami masih belum dikenal pasti lagi. Kami masih belum berhenti daripada keingingan untuk mengarang muzik, walaupun kami tidak aktif," sanggahnya dan memberi satu petanda Cromok yang amat sinonim dengan simbol kuda bertanduk atau unicorn ini masih bernafas tetapi cuma berhenti seketika setelah dua dekad dengan perjalanan tidak terlalu prolifik. Cromok sentiasa berteka-teki dengan status mereka kerana biasanya akan muncul dengan produk baru secara tiba-tiba dan selepas itu akan senyap kembali tanpa disedari khalayak metal mania.

  Melalui enam album boleh dinilai evolusi muzik Cromok tanpa mengabaikan akar muzik kamu tetapi diserikan dengan unsur eksperimental serta menyelitkan pelbagai pembaharuan seperti instrumen dan elemen kemelayuan, orkestra, instrumental dan sebagainya. Manakah album yang paling bersejarah dan cukup meninggalkan kesan sehingga kini. "Semua," pantas perkataan itu terpacul dari mulutnya serta menyifatkan setiap album mempunyai keistimewaan atau keunikan tersendiri walaupun berlaku sedikit perubahan line-up. Sukar baginya untuk memilih yang terbaik atau terburuk antara karya mereka. Setelah enam buah album dihasilkan, boleh dijustifikasi bahawa Cromok tidak pernah menggadai maruah, prinsip dan pegangan muzik mereka terhadap sebarang bentuk ikutan muzik metal semasa malah dilihat tidak terikat dengan thrash secara tematik seperti di awal kemunculan. Thrash adalah satu bentuk refleksif paling sesuai untuk mendefinasi citra muzikal mereka meskipun sudah melalui beberapa peringkat evolusi.

   Setelah enam album dipertaruhkan dalam gelanggang metal Nusantara serta berpeluang menggegarkan pentas-pentas prestij seperti di Hard Rock Cafe, Rock The World V, TV8 dan Planet Hollywood khususnya di ibu negara, Cromok diangkat ke singgahsana. Pada 2007 selepas 20 tahun Cromok ditubuhkan, anak syarikat EMI, Clockwork Records mengeluarkan album tribute 'Hail To The King 1987-2007'. Menampilkan 12 buah band dan daripada semua, kumpulan mana paling disukai pembawakan lagu Cromok dan mengapa? "Secara jujurnya Zul, aku tak pernah dapat pun album tribute ni. Apa yang aku dapat dengar adalah dua tiga buah lagu itu pun melalui internet dan rakan-rakan. Beberapa 'sample' yang dapat saya dengar daripada rakan-rakan memang sungguh menakjubkan. Mereka buat lain dari versi asal dan ini yang bagus, kalau sama ja lebih baik tak payah cover Cromok. Ada satu band tu apa nama dia, yang ada anggota perempuan tu?" Amethyst! "Ha Amethyst, band ni bawak memang lain daripada Cromok. Miji dengan Karl aku tak tahula dapat ke tidak album tribute ni, memang tak sangkala ada orang yang sanggup buat album ni (gelak)."

   Terbaru EMI mengeluarkan semula semua album yang pernah dirakamkan Cromok dalam satu box set khas 'Anthology' tetapi malangnya dikeluarkan tanpa menyertakan bonus tambahan seperti gambar band atau cerita ringkas di sebaliknya. Kompilasi ini sepatutnya mempunyai pelbagai keistimewaan khas bagi Cromers! "Kompilasi ini merupakan satu bonus untuk Cromers.  Sebanyak enam keping CD pada harga terendah untuk satu pakej.

Sekiranya gambar cerita ringkas diselitkan maka itu boleh dikira 'additional bonus' untuk mereka tetapi tidak dapat dilakukan." Apa tujuan 'Anthology' diterbitkan sedangkan EMI sendiri sudah lebih setahun berkubur, adakah tujuan label ini semata-mata mahu mengaut keuntungan dalam keadaan industri muzik yang serba tenat? "Mungkin, EMI pun sekarang dah tutup buku tetapi mereka masih pegang 'copyright' album-album kami. Biasala label mana yang tak nak buat duit."

  Bagaimana kamu melihat perkembangan muzik rock sekarang termasuk isu black metal yang pernah dan masih lagi dimainkan pihak media massa? "Isu black metal, ada kebaikan dan keburukan kerajaan membenteras muzik ini. Antaranya telah memperkecilkan punca pendapatan dan perkembangan muzik tanahair. Isu ini sekiranya tidak dibendung dari awal ia mungkin mendatangkan mudarat bagi masyarakat yang prihatin. Kita perlu menegur antara satu sama lain dan tidak bersikap mementingkan diri." Pendapat peribadi macamana daripada sudut menyekat pemuzik untuk berkarya? "Pendapat peribadi aku, pemuzik perlu diberi kebebasan memilih jenis dan pembawakan mereka tersendiri untuk mewarnai dunia dan industri muzik tetapi perlu ada garisan dan panduan yang bersesuaian. Media pun sama, jangan membuta tuli, selidik dulu betul-betul sebelum buat tuduhan yang tidak masuk akal, kesianla mat-mat metal yang tidak bersalah."

  Sekarang semua anggota asal Cromok sudah menetap semula di Kuala Lumpur dan pada masa hadapan adakah sebarang kemungkinan Cromok kembali proaktif? Apa halangan utama untuk Cromok menghasilkan album baru dan pernahkah berbincang mengenai perkara ini? "Susah nak cakap, masa yang akan menentukan. Keinginan untuk main muzik memang ada tapi masa amat terbatas, masing-masing sibuk dengan kerja dan keluarga. Kami susah untuk berkumpul, masa kerja aku tak sama dengan Miji atau Karl, masa aku keja diorang rehat, bila aku ada masa lapang diorang pulak kerja. Aku kerja siang diorang kerja malam (ketawa). Kami semua kerja sendiri. Aku masih dengar lagi rock, metal dan juga pelbagai muzik lain, ini sudah menjadi darah daging kami. Selain itu, faktor umur juga adalah salah satu penyebabnya, kami semua dah berumur, dekat-dekat nak masuk pertengahan 40-an, jadi terbatas sikitla nak buat apa pun."

   Ditanya kemungkinan melakukan reunion, Sam berkata: "Aku dah malas nak main muzik disebabkan hal-hal yang disebutkan tadi. Sebenarnya kami masih terima pelawaan untuk melakukan reunion 'show' tapi terpaksa tolak kerana tak dapat bagi jaminan boleh penuhi sebarang undangan. Kalau orang beri masa tiga bulan pun belum tentu kami dapat beri komitmen, jadi daripada buat orang marah lebih baik tolak." Ada cipta lagu baru? "Setakat ni memang takde apa lagi perancangan untuk buat album. Tapi tengoklah macamana, mana tau tiba-tiba nak main semula (ketawa)." Bagaimana bentuk album baru jika Cromok kembali bersatu? "Ni soalan yang susah nak jawab atau memang tak dapat jawab." Kembali kepada muzik asal atau terus melakukan kesinambungan terhadap perjalanan album yang terakhir 'Untitled'? "Yang ni lagila tak boleh jawab (ketawa besar)."

 Macamana dengan kehidupan sekarang, adakah anggota-anggota Cromok pernah menyesal kerana tidak memilih bidang muzik sebagai karier sepenuh masa atau adakah pilihan yang dibuat pada awal '90-an adalah tepat iaitu menjadikan muzik sebagai satu hobi? "Ya, kami masih menganggap sebagai satu hobi utama. Kami tidak pernah menyesal kerana tidak menjadi pemuzik sepenuh masa kerana itu bukan matlamat asal pun. Bagi kami apa yang dicapai sehingga kini pun sudah memuaskan." Kata-kata akhir untuk semua peminat yang masih setia menanti dan penutup kepada temuramah ini, mungkin ada apa-apa lagi yang tertinggal? "Thanks to all involved in 20 years time frame. The list goes on and on… you know who you are. Interview ni paling gilala pernah dapat (ketawa) yang menyentuh semua sejarah Cromok termasuk cerita-cerita yang belum pernah diketahui peminat kami."



Comments  

 
0 #8 kahak 2013-05-31 22:28
hina lah aku ni
Quote
 
 
0 #7 yasin 2013-02-15 13:48
hidup CROMOK !!!!!!!! ;-)
Quote
 
 
-1 #6 d cromok 2012-10-27 00:38
aku minat kumpulan Cromok ne dai zaman sekolah lagi hingg kini,
Aku keliru sikit nama Samsudin ali tak di sebut2 pun sipakah sebenarnya beliau???
Quote
 
 
+1 #5 Rashid 2012-08-06 15:25
I will..I love cromok all my heart...
Quote
 
 
+1 #4 yus 2012-07-26 13:50
terbaek di pasaran!
Quote
 
 
+1 #3 ehsan 2012-06-14 23:35
kami tetap beri sokongan pada cromok.. Growww
Quote
 
 
+1 #2 cropok 2011-11-27 02:58
jaanseributahun nih msti abng sil khannaz nih.huhu :P
Quote
 
 
+7 #1 JaanSeribuTahun 2011-11-26 11:56
salam to all cromokian

ini adalah satu peluang yg terbaik bagi peminat2 tegar cromok untuk menyokong penuh reunion ini, kalau konsert mat salleh kita sanggup bayar beratus takkan lah band kesayangan kita ni tak sanggup bayar, mari kita berikan sokongan penuh kepada beliau2 cromok ini.. hail CROMOK!
Quote
 

Add comment


Security code
Refresh

LAGI BULETIN...

BULETIN SEMASA...

blank
KONSERT G4
GEGARAN EMPAT GITARIS LAGENDA
More
blank
KONSERT
MALAYSIAN ROCK FEST 2012 More
blank
"MATI SENYAP"
DI AIM-19 More

REVIEW ALBUM

blank
EASTERN MASSACRE COMPILATION
Pelbagai genre telah dihimpunkan dalam 1 cd..
More